Pages

Monday, 11 July 2011

Lepaskanlah/Just Let It Go


Aku masih lagi mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan pada hari esok. Terdapat beberapa chapter lagi yang belum ku selak.
12.00 AM
Mataku sudah mula merasa mengantuk. Aku berniat mahu bangun awal esok pagi dan menyambung apa yang tinggal kerana kurasakan ku masih ada masa, sebelum peperiksaan bermula pada pukul 9.00 pagi. Selalunya sebelum peperiksaan, aku tidur lebih lewat dari hari ini.
9.40 AM
Aku terjaga dari tidur. Aku tersentak. Aku sudah lewat lebih kurang 40 minit. Aku sepatutnya berada di sana lebih awal. Aku kejutkan teman sebilikku. Aku menangis di depannya. Dia minta maaf kerana tidak mengejutkanku. Tetapi aku tidak menyalahkannya. Dia tiada peperiksaan hari ini. Aku tidak menyalahkannya. Sungguh. Ketika itu apa yang menjadi percaturanku samada mahu pergi ataupun tidak. Aku meguatkan diriku ketika itu. Temanku itu juga menasihatiku untuk pergi. Aku bersiap-siap dan terus pergi. Aku masih menangis ketika perjalanan pergi.
Ketika aku sampai di sana, aku berjumpa dengan pengawas peperiksaan dan meminta dia untuk memanggil pensyarahku. Pensyarahku datang kepadaku, dan aku merayu kepadanya. Dia menyatakan aku boleh menjawab peperiksaan itu, tetapi ia belum tentu diterima. Dia menyuruhku untuk berdoa. Kemudianya aku menjawab soalan peperiksan tersebut. Mujur soalan agak senang dan aku pernah mejawabnya di dalam kelas sebelum ini. Sepanjang peperiksaan itu, aku menguatkan diriku dan berkata, "Tak apa, yang penting aku dah buat yang terbaik". Tetapi, alangkah tersinggunya perasaan aku ketika sedang menjawab soalan kerana ada seorang pegawai yang lain berkata, "Awak tahukan yang ni tak confirm lagi boleh terima ke tak?". Aku ketika itu hanya  menganguk dengan lemah. Aku amat sesal dengan soalannya. Aku juga tahu. Tapi aku amat mengharapkan semangat dari orang semasa itu. Bukan kata-kata yang merundum perasaanku ketika itu. Aku hanya mampu bersabar walaupun mataku secara tidak lansung berair.
12.00 PM
Peperiksaan tamat. Aku melihat teman-teman aku gembira kena peperiksaan untuk kertas itu sudah tamat. Ketika itu, aku marahkan mereka kerana tidak lansung mempedulikan rakan mereka yang selama ini di dalam kelas sentiasa bersama. Yang sebelum ini berkumpulan. Aku marahkan mereka kerana tidak lansung menghantar pesanan ringkas kepadaku. Dan aku paling marahkan seorang itu, kerana sebelum ini aku sentiasa mengajaknya ke kelas bersama-sama. Tidak pernah lupa. Tetapi ketika peperiksaan dia tidak lansung mempedulikan aku. Aku sedih. Kerana kurasakan, persahabatan kami kuat. Susah dan senangnya bersama.
Selepas itu, aku masih lagi memikirkannya. Menyalahkan semua orang disekelilingku. Aku sentiasa menangis apabila mengingatkanya. Apatah lagi, ianya adalah peperiksaan yang pertama. Aku sudah tiada semangat lagi untuk menjawab kertas-kertas lain. Aku merasakan semuanya gelap. Aku risau, tetapi ketika itu, mindaku dan hatiku sentiasa mengingatkan kejadian itu. Aku juga mahu melupakannya dan fokus kepada kertas lain, tetapi terlalu sukar.
Kemudian, aku berjumpa teman baikku. Aku bercerita dengannya. Aku menangis depannya. Dia mendengarnya. Aku amat terharu. Sebelum ini, semua rakanku yang lain seolah tidak mempedulikan masalah aku, dan meganggap itu hanya masalah kecil yang berpunca dariku. Betulah, Allah tidak menjadikan orang lain sia-sia untuk kita. Kita hidup adalah untuk membantu yang lain. Aku masih ingat. Hanya sepotong ayat yang merubah sepenuhnya pandanganku."Hanya Allah yang berkuasa atas segala-galanya". Aku terdiam. Ketika itu aku rasakan amat tenang. Seolah-olah aku melihat cahaya itu kembali.
Allah Maha Besar. Allah Maha Kaya. Allah Maha Kuasa. Segala yang di dunia ini adalah dari Allah. Kembalilah kepada Allah ketika hati ini gelap. Allah akan menunjukkkan kembali cahaya. Allahu Akbar.
...........
Hari berlalu hari. Hari ini, keputusan akan keluar. Sentiasa ada debaran setiap kali keputusan. Aku berdoa, "Ya Allah, semoga aku lulus untuk semua kertas, dan jika tidak, semoga aku dapat menerima ianya dengan reda" Keputusan pertama yang ku lihat adalah kertas tersebut, dan aku gagal. Tetapi ketika itu aku sudah reda. Aku hanya tersenyum ketika itu. Kerana itulah yang terbaik buatku.
Kini aku juga tidak lagi marah kepada yang lain, kerana aku tahu, ini semua adalah ketetapan Allah kepadaku. Juga bukan mereka tidak mempedulikanku, tapi kerana itulah ketetapan Allah. Redalah dengan semua yang terjadi. Aku tidak lagi menyimpan rasa dan kini hati ini sangat tenang. Lepaskan la, rasa marah itu, lepaskanlah dengan rasa redha.
Redalah..Redalah dengan apa yang telah terjadi. Lepaskan ia pergi. Itulah yang terbaik. Allah sudah menentukannya. Jangan dikenang lagi..
Kadang-kadang kita terlalu lama mengenangkannya, sehingga kita tidak nampak jalan keluar yang lain. Apabila satu pintu kebahagian tertutup, Allah membuka pintu-pintu lain. Kita hanya perlu menyedari akan pintu-pintu itu. Rahmat Allah itu terlalu luas. Jangan diketepikan. Itu namanya manusia yang tidak tahu bersyukur.
Jangan kita tergolong di dalam golongan itu. Redalah walaupun ia pahit. Redalah walaupun ia sakit. Kerana Allah tahu yang terbaik.

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada   kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.(Surah Ibrahim 14: Ayat 7) 
Sumber iluvislam.com

No comments: